bahasa melayu

Saturday 30 April 2011

GEJALA SOSIAL

                                 LANGKAH-LANGKAH MENGATASI GEJALA SOSIAL


       Sememangnya tidak dapat disangkalkan lagi bahawa kejadian samseng jalanan semakin menjadi-jadi.Masalah samseng jalanan ini semakin berleluasa dan membabitkan keselamatan masyarakat sekeliling terancam.Masalah samseng jalanan ini sukar dibendung kerana kelompoknya terlalu ramai sehingga tidak dapat dihitung dengan jari-jemari.Namun,masyarakat haruslah berganding bahu bagi membanteras masalah ini kerana kita tidak sepatutnya melepaskan tangan dan bergantung harap terhadap pihak kerajaan dalam membendung masalah ini.Hal ini kerana masyarakat yang terjebak dalam aktiviti samseng jalanan juga merupakan bangsa kita sendiri.Adakah anda sanggup negara kita hancur dipimpin oleh seorang samseng jalanan?Oleh itu,kita mestilah menggembleng tenaga bagi memastikan masalah samseng jalanan dapat dibendung dengan mengambil langkah-langkah yang drastik.

          Antara usaha yang dapat dilakukan bagi membanteras masalah samseng jalanan ialah pihak sekolah perlulah memberi penekanan terhadap murid-murid tentang kesedaran sivik dan kewarganegaraan.Hal ini kerana kebanyakan sekolah lebih memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik manakala aspek pembinaan insan dipinggirkan.Dalam hal ini,pihak sekolah perlulah menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan kecemerlangan dari segi sahsiah diri agar murid-murid dapat melakukan sesuatu perkara yang tidak bercanggah dengan norma-norma masyarakat.Oleh itu,pihak sekolah perlulah merangka jadual yang sistematik seperti memperpanjang masa mata pelajaran sivik dan kewarganegaraan dalam proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas.

         Di samping itu juga pihak media massamemainkan peranan yang penting dalam membanteras kejadian samseng jalanan.Hal ini kerana pihak media massa banyak memaparkan filem-filem yang bercanggah dengan norma-norma penduduk setempat seperti menconteng dinding dan yang lebih bahaya lagi kes-kes kecurian sering dipaparkan dalam media massa elektronik.Filem-filem tersebut dapat merangsang pemikiran anak-anak  yang baru seputik jagung untuk mencubanya .Oleh itu, pihak media massa hendaklah mengurangkan filem-filem itu dipaparkan dalam kaca televisyen sebaliknya iklan-iklan yang menunjukkan nilai-nilai positif diperbanyakkan .Hal ini kerana filem-filem yang menunjukkan nilai-nilai murni dapat menyedarkan masyarakat tentang keburukan melalui sesuatu tindakan berlandaskan hawa nafsu.Namun,pihak media massa hendaklah merancang dengan lebih teliti supaya filem-filem yang berunsurkan perkara-perkara positif itu kelihatan lebih menarik dan para penonton tidak jemu untuk menonton filem tersebut.Sehubungan itu,pihak media massa perlu mengambil langkah yan drastik bagi membanteraskan masalah ini dengan mengehadkan iklan-iklan atau filem-filem yang berunsurkan perkara-perkara negatif agar nilai -nilai murni dapat disemai  dalam sanubari masyarakat .
           
           Ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam membendung kejadian samseng jalanan ini.Ibu bapa hendaklah memberi didikan agama kepada anka-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya agar mereka tidak terjebak dalam aktiviti samseng jalanan apabila dewasa.Namun,didikan agama tidak mencukupi kerana ibu bapa juga perlu memberikan contoh teladan yang baik kepada anak-anak di rumah seperti tidak menengking apabila bercakap dengan anak-anak dan mengajar anak-anak supaya menyayangi harta benda.Ibu bapa juga boleh mengajar anak-anak mereka supaya mengisi masa senggang dengan perkara-perkara yang positif kerana masa itu emas.Dalam hal ini,ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka ke perpustakaan yang terdekat atau ke pesta buku yang diadakan julung kali diadakan di negara kita dan ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mereka beriadah bersama-sama pada hujung cuti sekolah agar apabila bosan anak-anak tidak akan mencuba untuk melakukan perkara-perkara yang negatif kerana sudah terbiasa dengan rutin harian yang seringmelakukan perkara-perkara yang positif.Oleh itu,ibu bapa hendaklah menggembleng tenaga dalam memastikan impian negara untuk melahirkan masyarakat yang berwawasan tercapai.

             Selain itu,pihak polis hendaklah turun padang untuk memantau kegiatan samseng jalanan supaya kegiatan ini dapat dibanteras dengan segera.Dalam hal ini,pihak polis membuat serbuan dengan segera agar sarang samseng jalanan ini dapat dimusnahkan dengan kadar masa yang cepat.Natijahnya,kelompok samseng jalanan ini sukar untuk meneruskan kegiatan mereka kerana sarang mereka telah dimusnahkan.Pihak polis juga perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap samseng-samseng jalanan ini seperti mengenakan denda atau memenjarakan mereka tanpa ikat jamin.Hal ini akan menggerunkan masyarakat supaya tidak melibatkan diri dalam kegiatan samseng jalanan ini.Namun,dalam membanteras kejadian samseng jalanan ini pihak polis perlu mengharungi pelbagai pancaroba tetapi pihak polis perlu mempunyai daya juang yang tinggi kerana laut mana yang tidak berombak,bumi mana yang tidak dilimpahi hujan.

               Di samping itu juga kita sebagai seorang pelajar mestilah berusaha mengelakkan diri daripada terjebak dengan kegiatan seperti ini kerana sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tiada guna lagi.Kita perlu pandai memilih rakan kerana tersilap langkah akan menjerumuskan kita ke lembah kehinaan.Sebagai pelajar juga kita perlulah berusaha melengkapkan diri dengan ilmu agar kita dapat mengetahui antara hak dengan batil.Ingatlah ilmu penyuluh hidup kita.Oleh itu,kita juga perlu mengikis sikap-sikap yang negatif dalam sanubari agar kita tidak terjerumus dalam kejadian samseng jalanan kelak.

              Tuntasnya,semua pihak memainkan peranan dalam memastikan kejadian samseng jalanan ini dapat dibendung dengan mengambil langkah-langakah yang drastik.Komitmen daripada semua pihak amat diperlukan kerana muafakat membawa berkat.Oleh itu,marilah kita bersama-sama membendung kejadian samseng jalanan demi kesejahteraan keamanan dan keharmonian negara.






No comments:

Post a Comment